Nurul Huda Abhar
BELUM reda kisah pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) membuat siaran langsung (live) ketika serbuan di sebuah pusat hiburan, muncul pula seorang pegawai perubatan didakwa sengaja mendedahkan maklumat pesakit HIV demi ‘content’.
Berdasarkan ciapan yang tular di laman Twitter, pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Kemaman itu berkongsi mengenai pesakitnya menghidap HIV dan telah meninggal dunia.
Dalam bebenang itu, pegawai perubatan tersebut turut memaparkan rekod perubatan dan memaklumkan sejarah perubatan pesakit berkenaan kepada umum.
Bagaimanapun, semakan Malaysiapost di laman tersebut mendapati bebenang itu telah dipadam setelah menerima kecaman netizen.
Hantaran itu dimuat naik kembali pemilik akaun Daddylishes, dan dia berkata tidak dapat menerima tindakan pegawai perubatan terbabit yang mendedahkan maklumat sulit pesakit di laman sosial peribadi semata-mata untuk ‘content’.
BACA LAGI: Pekerja putus tangan tersangkut mesin pemecah batu
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen kurang bersetuju dengan tindakan yang tidak beretika itu dan terdapat juga beberapa pengguna yang menyebut (tag) Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Tak habis-habis dengan sikap tidak beretika dalam kerja. Sebab sesetengah pihak yang buat perangai, habis orang lain kena tempias. Ini mesti doktor baru kerja masih excited,” kata WanAsmawizain.
“Sudah tiba masa kerajaan keluarkan akta, atau tindakan keras seperti tamatkan perkhidmatan pada kakitangan kerajaan yang salah guna media sosial. Pegi buka TikTok, banyak sangat sepsis gila glamor,” ujar Nick Hanafi Mohd.
“Nak kejar ‘clout’ ke sampai sanggup buat macam tu? Gila betul, patut tarik lesen doktor ini. Bagi pengajaran pada yang lain,” kata SenahDebab. – Malaysiapost
Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

