SISTEM pengasingan kuasa di antara badan eksekutif dan kehakiman tidak membawa maksud terlepas daripada peruntukan undang-undang.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim, berkata peraturan itu hanya diguna pakai bagi sesetengah perkara yang telah ditetapkan undang-undang.
“Jika pengasingan kuasa bererti pengasingan kuasa tidak boleh menyiasat Hakim, ini bukan sistem yang kita guna pakai.
“Mekanisme dalaman yang diguna pakai hanya dalam hal-hal tertentu,” katanya menerusi video di Facebook hari ini.
Beliau mengulas berkenaan isu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
BACA LAGI: Hakim boleh disiasat dan didakwa – Isham Jalil
Mohd Zaid berkata, orang luar tidak perlu marah kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berhubung siasatan dan laporan yang dibuat badan tersebut.
Katanya, ia kerana Mohd Nazlan juga bertindak membuat laporan polis dan bersedia memberi kerjasama dan penyiasatan yang dijalankan SPRM.
“Hakim Nazlan sendiri pun buat laporan polis. Jadi jika mereka (hakim) buat laporan polis dan SPRM bererti mereka sanggup menerima keputusan penyiasatan tersebut.
“Jika mereka sendiri yakin dengan badan-badan ini, kenapa orang luar yang risau? Penyiasatan belum habis. Hakim Nazlan mungkin tidak bersalah. Tiada sesiapa kata dia buat salah.
“Saya harap kita ambil semua ini secara rasional,” ujarnya.
SPRM sebelum ini dilaporkan sudah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan dengan Azam memaklumkan ia prosedur biasa selepas agensi itu menerima laporan secara rasmi.
Pada 21 April lalu, Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin.
Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya berkata, artikel ditulis oleh Raja Petra bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’ yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas. – Malaysiapost

