Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam proses muktamadkan RUU Anti Lompat Parti

0
3

JAWATANKUASA Pilihan Khas Parlimen Menimbang Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, masih dalam proses untuk memuktamadkan RUU berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata jawatankuasa berkenaan telah mengadakan mesyuarat ketiga pada hari ini.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dipengerusikan oleh saya ini telah melaksanakan mesyuarat-mesyuarat seperti ketetapan takwim.

“Berdasarkan siri mesyuarat tersebut, jawatankuasa ini telah mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara dasar mengenai gubalan RUU ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen itu masih dalam proses untuk memuktamadkannya sepertimana usul Peraturan Mesyuarat 54(2) dan Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas di bawah Peraturan 81(1) yang telah diluluskan semasa sidang Majlis Khas pada 11 April 2022 yang lalu.

“Jawatankuasa ini juga mengambil keputusan untuk mendapatkan pandangan bertulis daripada badan bukan kerajaan, parti-parti politik dan pakar akademik berkaitan parameter gubalan RUU ini selaras dengan usul yang dikemukakan.

“Jawatankuasa ini akan meneruskan tugas mereka mengikut mandat yang diberikan oleh Parlimen dengan sebaik mungkin,” katanya.

Wan Junaidi berkata, sehingga kini prestasi jawatankuasa itu sangat membanggakan dengan sokongan daripada Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here