Semua R&R, Hentian Sebelah PLUS sedia tampung lonjakan trafik

0
3

SEMUA Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta Hentian Sebelah di sepanjang lebuh raya di bawah kendalian Plus Malaysia Berhad (PLUS) kini bersedia untuk menerima lonjakan trafik.

Ia susulan jangkaan lebih 2 juta kenderaan akan menggunakan rangkaian lebuh rayanya setiap hari puncak antara 29 April hingga 9 Mei sempena Aidilfitri.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata sepanjang musim perayaan, semua R&R dan Hentian Sebelah dibuka 24 jam setiap hari untuk kemudahan dan keselesaan pelanggan lebuh raya.

“Di kawasan-kawasan rehat ini, PLUS menyediakan ratusan gerai makanan dan minuman, surau serta tandas awam sepanjang masa, demi keselesaan pelanggan.

“Oleh itu, kami mengingatkan semua pelanggan lebuh raya yang singgah di kawasan rehat supaya mematuhi SOP Covid-19 terkini dikeluarkan Kementerian Kesihatan,” katanya menerusi kenyataan.

Bagi menguruskan trafik di kawasan-kawasan rehat, Zakaria berkata PLUS juga akan mendapatkan khidmat pasukan RELA.

Selain itu, katanya, PLUS akan menyediakan tandas tambahan dan lori tangki di R&R dan Hentian Sebelah bagi mengimbangi peningkatan jumlah pelanggan yang singgah di kawasan tersebut.

“Bagaimanapun sekiranya kawasan rehat tersebut didapati terlalu padat dan sesak sehingga memberi kesan kepada kelancaran perjalanan trafik di lebuh raya, ia mungkin terpaksa ditutup sementara.

“Ia akan dibuka semula secepat mungkin setelah keadaan kembali terkawal dan perjalanan trafik bergerak kembali stabil.

“Ketika langkah ini diambil, pelanggan dinasihat supaya terus ke kawasan rehat berikutnya atau berhenti di plaza tol berhampiran di mana tandas awam dan surau turut disediakan,” katanya lagi.

Menurutnya, terdapat 109 stesen minyak beroperasi di sepanjang lebuh raya PLUS untuk memudahkan pelanggan mendapatkan makanan dan menggunakan tandas serta surau selain mengisi minyak.

“Bagi meraikan perjalanan balik kampung dan pulang ke bandar, PLUS turut menawarkan kopi percuma kepada pelanggan yang singgah di kawasan rehat terpilih sebelum menyambung semula perjalanan dalam keadaan lebih segar,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here