Warisan Plus, mana slogan ‘Percaya Kepada Tuhan’?

0
3

KETUA Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai menerusi hantarannya dalam Facebook hari ini, meminta Warisan Plus menghormati keputusan Plihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Joniston berkata, Warisan Plus harus berpegang kepada slogannya ‘Percaya Kepada Tuhan’.

“Sahabatku Warisan Plus, tolong berpegang kepada slogan ‘Percaya Kepada Tuhan’ dan hormati keputusan PRN ke-16 seperti ketentuan Tuhan. Terima kasih,” katanya.

Sebelum ini, PBS mendakwa Parti Warisan itu mula menghubungi wakil rakyat mereka untuk membeli kerusi dengan sanggup menawarkan duit dan jawatan.

Menerusi kenyataan PBS, parti itu mendakwa mereka sekali lagi dijadikan sasaran fitnah ketika kemelut pelantikan calon ketua menteri belum diumumkan dengan propaganda politik mula tersebar dan khabar angin pengkhianatan mula bertiup.

Sebelum ini juga, akaun Facebook Sabah Ubah mendakwa, PBS menyertai satu mesyuarat berhubung pembentukan semula kerajaan negeri.

Ia mendakwa, sumber dipercayai mengesahkan dalam mesyuarat itu Adun dari PBS sudah menemui Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam merangka kerjasama dan strategi pelaksanaan penubuhan kerajaan baharu. – Malaysiapost