EMPAT masjid di Kuantan diarah tutup untuk sementara waktu berikutan terdapat satu kes yang disahkan positif wabak Covid-19 di daerah berkenaan.
Empat masjid itu ialah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (MSAS) Sungai Isap, Masjid Othman Ibnu Affan Bukit Rangin, Masjid Lama Permatang Badak dan Masjid al-Hidayah Paya Besar.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata, penutupan masjid berkenaan telah dibincangkan dalam mesyuarat Task Force Jumaat lalu yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Beliau berkata, pada mesyuarat itu Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) diminta meneliti keperluan untuk mengarahkan masjid sekitar rumah individu terbabit yang disahkan positif Covid-19 tidak mengadakan solat Jumaat dan ditutup sementara.
Katanya, keputusan berkenaan dibuat bagi mengelak berlaku penularan wabak Covid-19.
“Walaupun berat keputusan itu, demi keselamatan masyarakat setempat, kerajaan negeri terpaksa mengambil langkah pencegahan awal.
“Masyarakat tidak perlu terlalu cemas berikutan terdapat kes Covid-19 di daerah ini dan Jerantut kerana Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi berkaitan sudah mengambil langkah pencegahan,” lapor BH.
Norolazali berkata, masyarakat turut diingatkan supaya terus mengamalkan normal baharu terutama membabitkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, jaga kebersihan dan tidak berkumpul dengan jumlah yang ramai. – Malaysiapost
Foto Kredit: Facebook Ihsan

