Muhammad Mustakim Ramli
TIMBUL tanya siapa bakal menjadi Ketua Menteri Sabah yang baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) berakhir kelmarin.
Setakat ini, dua nama disebut-sebut bakal menerajui Sabah, iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi Perhubungan Parti Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor.
Biarpun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang dalam PRN itu, namun ada juga desas desus mengatakan akan berlaku ‘kejadian lompat’ yang menyaksikan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal kekal sebagai Ketua Menteri.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kedua-dua individu yang disebut bakal Ketua Menteri Sabah dari Umno, Bersatu dan Warisan itu berasal dari ‘rumah’ yang sama, iaitu Umno.
“Mereka semua berasal dari rumah yang sama. Rumah Umno. Dulu sama-sama menyanyikan lagu “Bersatu Kita Bersatu…”.
Mereka membesar bersama sebagai adik beradik.
“Bila mereka berpecah, pastinya banyak suara-suara yang menggalakkan perpecahan dan menganggap ada yang lebih suci dari yang lain,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berharap, ketiga mereka diberi kelapangan di hati masing-masing untuk mengingatkan kembali zaman membesar di ‘rumah’ yang sama.
Sementara itu, veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata, kesilapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menerima nasihat Shafie untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta enggan menerima bukti sokongan dari Tan Sri Musa Aman membawa kepada keadaan di mana Tun Juhar pula yang perlu memilih antara calon BN dan Bersatu.
“Persetujuan Tun Juhar membubarkan DUN Sabah adalah suatu keputusan yang kurang bijaksana.
“Apa pun keputusan Tun Juhar, ianya tidak mampu mengubati hawa nafsu pemimpin politik sesudah rakyat memberi mandat, mula-mulanya di PRU14 dan sekarang di PRN ini.
“Penyelesaian bukan di atas “kebijaksanaan” Tun Juhar, tetapi dengan pemimpin Bersatu di negeri dan pusat untuk mengakui cita-cita politik mereka tidak mampu menyelesaikan kemelut politik negeri Sabah,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Awani

