USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Cyberjaya bagi membantu siasatan berkaitan klip video muzik sempena Aidilfitri, pagi tadi.
Difahamkan, beliau yang tiba dengan berkot kelabu dan berseluar hitam tiba kira-kira jam 9.58 pagi.
Aliff yang diiringi dua individu bagaimanapun terus memasuki pekarangan bangunan SKMM.
“Maaf ye saya kena masuk ke dalam,” katanya.
Beliau diminta hadir ke SKMM bagi memberikan keterangan dan merakam keterangan berhubung klip video muzik sempena Aidilfiti yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.
BACA LAGI: SKMM panggil individu terlibat video muzik raya Aliff Syukri hari ini
Semalam Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, satu kertas siasatan dibuka di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung video berkenaan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, individu yang dikenal pasti telah diberi notis dan diminta untuk hadir di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya, pagi ini.
“SKMM telah teliti di peringkat awalan, dan ada sebab untuk siasatan dilaksanakan, dan dengan itu satu kertas siasatan dibuka untuk siasat perkara ini bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Sebelum ini, video muzik lagu raya nyanyian Aliff Syukri yang mempunyai unsur komedi dianggap tidak kelakar oleh masyarakat sebaliknya menjadi bahan cemuh gara-gara aksi lembut sekumpulan penari lelaki.
Video berdurasi 5 minit 23 saat dianggap netizen telah dicemari gaya keterlaluan penari lelaki lembut berkenaan.
Malah, ada yang menyifatkan paparan aksi dalam video muzik itu sebagai satu cara halus menormalisasikan penyimpangan fitrah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini. – Malaysiapost
Kredit Foto: Instagram Aliff Syukri

