PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, semalam menerima kunjungan hormat daripada Juventus FC yang sedang meninjau potensi jalinan kerjasama dua hala bertujuan memperkasa lagi bola sepak terutama peringkat akar umbi serta belia.
Delegasi Juventus FC diwakili Pengarah Urusannya, Federico Palomba dan Pengurus Jualan Kerjasama, Kelvin Leung.
Menurut Hamidin, menerusi perbincangan awal itu pemain muda negara khususnya skuad Bawah 17 tahun kebangsaan akan diberi peluang menjalani latihan di akademi Juventus yang berpangkalan di Turin.
“Juventus berminat dan meninjau peluang untuk bangunkan program pertandingan bola sepak di peringkat junior.
“Kerjasama ini berpotensi membawa manfaat kepada bola sepak Malaysia. Dengan reputasi sebagai gergasi Itali, Juventus berhasrat berkongsi kepakaran mereka dengan Malaysia. Mereka juga bercadang beraksi dalam perlawanan pertunjukan di negara kita dalam tempoh antara Disember 2022 dan Julai 2023.
BACA LAGI: Pesan minuman di bulan puasa, pelayan sangka Pandalela Rinong Islam
“Juventus FC juga inginkan Malaysia membuat kunjungan balas bagi meninjau kemudahan ke ibu pejabat dan fasiliti serba lengkapnya di Turin,” kata Hamidin menerusi hantaran di Facebook rasmi FAM.
Tambah Hamidin, menerusi perbincangan awal itu juga pihak Juventus FC meninjau potensi untuk membuka akademinya di Malaysia.
“Pemain kanak-kanak di peringkat akar umbi berpeluang menguji kemampuan masing-masing dengan turut serta dalam saingan Akademi Piala Dunia Juventus.
“Apa yang saya lihat menerusi perbincangan awal ini, potensi jalinan kerjasama antara Juventus FC dan FAM mampu mendedahkan bakat tempatan kepada corak latihan sebuah kelab gergasi Eropah,” katanya. – Malaysiapost

