Pesan minuman di bulan puasa, pelayan sangka Pandalela Rinong Islam

0
2

RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong baru-baru ini menarik perhatian netizen dengan berkongsi kisah kekok dan lucu yang terpaksa dihadapinya dalam bulan Ramadan.

Jelas pemenang pingat Olimpik itu, situasi berkenaan berlaku ketika dia keluar untuk minum petang di sebuah kedai di Ipoh, Perak, minggu lalu.

Gadis berketurunan Bidayuh itu, berkata ketika mahu memesan minuman pelayan di kedai berkenaan yang menyangkakan Ratu Terjun Negara itu beragama Islam, bertanya mengenai bangsanya.

“Kali pertama dalam hidup saya ditanya sama ada saya orang Melayu (Islam) cuba memesan minum petang pada bulan puasa,” katanya ringkas di Facebook.

Dalam hantaran sama, Pandalela turut memuat naik dua keping gambar beliau di kedai terbabit bersama hidangan makanan yang dipesan.

BACA LAGI: Kedah waspada kebangkitan Sabah di Likas

Hantaran berkenaan menerima komen netizen yang rata-ratanya tidak menyangka pelayan kedai berkenaan tidak mengenali Pandalela yang juga atlet wanita Malaysia pertama memenangi pingat Olimpik.

Malah, tidak kurang juga pengikut Facebooknya yang berkongsi melalui pengalaman sama ketika mahu memesan makanan di kedai ketika di bulan puasa.

Vianny Veronica Kating: “Saya mempunyai pengalaman yang sama. Dari pengalaman itu, saya akan sentiasa mengeluarkan rantai saya dari dalam baju saya yang mempunyai loket salib di atasnya dan memudahkan mereka lihat,” katanya.

Debbie Jara: “Perkara yang sama berlaku kepada saya semasa saya di KL. Saya rasa dalam 10 tahun yang lalu.. pelayan menghalang saya di pintu masuk restoran dan bertanya kepada saya agama saya,” katanya.

Benjamin Sigan: “Adakah mereka tahu siapa anda? Jika tidak, saya rasa mereka ingatkan anda Melayu,” katanya.

Kotien Saja: “Ini kelakar, kerana mereka tidak kenal diva sukan terjun Malaysia,” katanya

Jilly N. Robinson: “Bagaimana mereka tidak kenal Ratu Terjun Negara kita, Datuk Pandelela Rinong,” katanya.

Namun, di sebalik komen berkenaan ada juga netizen yang menyifatkan situasi itu adalah biasa memandangkan negara kita mempunyai berbilang bangsa dan agama, sekali gus menjadikan kehidupan rakyat Malaysia unik dan harmoni.

Difahamkan, ketika kejadian itu Pandelela berada di Ipoh untuk kem latihan selama enam hari di Pusat Akuatik Tuanku Zara, dan menyertai pertandingan pada 22 dan 23 April sebagai sebahagian daripada persiapan terakhir skuad negara menghadapi Sukan SEA di Hanoi, Vietnam.

Acara dwitahunan itu akan menyaksikan Pandelela bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri untuk acara 10m platform seirama selepas persaraan bekas pasangannya Datuk Leong Mun Yee. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here