KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) bersedia mempertimbangkan pemberian kelonggaran bersyarat kepada pelaksanaan Pas Lawatan (Kerja Sementara) bagi pekerja asing yang bekerja di atas vesel tempatan.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pendekatan itu bagi membantu agenda pemulihan semula industri perikanan negara dalam fasa endemik.
Beliau berkata, pihak kementerian juga telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil Persatuan Pusat Perusahaan-Perusahaan Ikan Malaysia.

Menurutnya, ia bagi membincangkan isu keselamatan dan keimigresenan yang dihadapi oleh pengusaha-pengusaha ikan di Malaysia melibatkan penggajian pekerja asing dalam sub-sektor perikanan.
“Kelonggaran bersyarat ini meliputi pengecualian khas Pas Lawatan (Kerja Sementara) hanya bagi pekerja yang telahpun memohon Pas Lawatan (Kerja Sementara) dan mempunyai resit pengesahan bahawa permohonannya sedang diproses oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)
“Pengecualian ini berkuatkuasa sehingga 31 Oktober 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemberian kelonggaran bersyarat itu juga bagi membolehkan para majikan melengkapkan permohonan Pas Lawatan (Kerja Sementara) untuk semua pekerja asing yang digajikan mereka.
“KDN menegaskan bahawa mulai 1 November 2022, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan tanpa sebarang kompromi dan sekiranya didapati masih ada majikan dalam sub-sektor perikanan yang masih ingkar, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta-Akta lain yang berkenaan.
“Ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk memastikan semua individu yang masuk dan berada di Malaysia mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan menepati undang-undang keimigresenan yang berkuat kuasa,” katanya. – Malaysiapost

