TEKA-teki siapa Ketua Menteri Sabah yang baharu dan bila majlis mengangkat sumpah jawatan itu belum ada sebarang jawapan sehingga pagi ini.
Walaupun sudah masuk hari kedua selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu lalu, persoalan itu belum lagi selesai, dipercayai disebabkan beberapa masalah yang timbul dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor yang disebut antara bakal Ketua Menteri sudah ke Istana Negeri, tetapi belum ada kepastian siapa mendapat jawatan itu.
Kedua-dua mereka hanya menjawab, keputusan siapa Ketua Menteri akan dibuat Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan dikatakan majlis angkat sumpah diadakan pada jam 10 pagi ini.
Bagaimanapun, majlis hari ini dikatakan dibatalkan dan ditunda ke jam 10.30 pagi esok berdasarkan sumber Istana Negeri yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Sabah, pagi ini.
Sumber memaklumkan, pembatalan itu disebabkan masih ada pertikaian mengenai jawatan Ketua Menteri yang belum selesai antara BN dan Perikatan Nasional (PN).
Pada masa sama, spekulasi juga timbul kononnya Warisan Plus mungkin mendapat majoriti mudah dan kembali membentuk kerajaan dengan kerjasama Parti Solidariti Tanah Airku (Star).
Sebelum ini, khabar angin mengatakan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan bekerjasama dengan Warisan Plus, namun perkara itu disangkal Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai.
Pada PRN Sabtu lalu, GRS memperolehi 38 kerusi, PN (17) , diikuti BN (14) dan PBS (tujuh).
Warisan Plus pula memperolehi 32 kerusi, iaitu Warisan-DAP (29), PKR (dua) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) satu kerusi.

