Zahid kekal keputusan Bung Ketua Menteri Sabah

0
2

UMNO tegas dengan pendiriannya untuk memilih Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Memetik laporan The Star, Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak wajar bagi BN menyerahkan jawatan ketua menteri itu kepada Bersatu kerana gabungan itu telah mengorbankan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar Perak.

“Kita telah bagi dua kali, satu di Perak, di mana Bersatu hanya ada empat Adun dan Umno ada 25.

“Tetapi, kita setuju Adun Bersatu (Ahmad Faizal Azumu) dilantik sebagai Menteri Besar Perak.

“Juga bila kita bentuk kerajaan persekutuan dengan Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), meskipun parti Muhyiddin Yassin tidak mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang ramai, kita setuju dia diangkat sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Justeru, katanya, tidak wajar sekiranya BN juga memberikan jawatan Ketua Menteri Sabah kepada Bersatu.

“Sekarang untuk kita, jika BN tak dapat jawatan Ketua Menteri di Sabah, kesan yang besar ditanggung BN pada masa depan.

“Kajian kita menunjukkan kesan itu tidak bagus kepada BN.

“Saya tidak akan setuju jika Bung diganti oleh Adun, selain BN untuk menjadi ketua menteri. Tidak,” katanya.

Selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan 38 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GPS) berselisih pendapat mengenai calon Ketua Menteri.

BN mahukan Bung Moktar sebagai Ketua Menteri, manakala Bersatu mencalonkan pengerusi partinya di Sabah iaitu Datuk Hajiji Noor.

Dalam perkembangan lain, turut dilaporkan bahawa Bung Moktar dan Hajiji telah menyerahkan akuan berkanun (SD) ketika mesyuarat semalam dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Memetik The Star, kedua-duanya kini menyerahkan keputusan pemilihan calon Ketua Menteri kepada Tun Juhar.

Zahid mendakwa Tun Juhar juga telah berunding dengan pakar undang-undang seperti Richard Malanjum yang telah berkempen untuk Warisan berhubung calon ketua menteri.

Zahid yang juga anggota parlimen Bagan Datuk menyatakan Perkara 6(7) Perlembagaan Sabah turut menyatakan bahawa Yang di-Pertua Negeri mempunyai hak untuk melantik ketua menteri dengan jumlah wakil rakyat negeri yang paling banyak.

“Isu berhubung Perkara 6(7) telah dibawa ke Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan,” kata Zahid.

Tambahnya, istilah ‘parti yang membentuk majoriti’ tidak semestinya bermaksud lebih 60 peratus daripada kerusi DUN.

“Kami (GRS) telah berikan dua nama iaitu Bung dan Hajiji. 

“Ia hak Yang di-Pertua Negeri, tetapi saya harap (ketua menteri) adalah Bung Moktar,” katanya lagi. – Malaysiapost

Foto Kredit: freemalaysiatoday.com