DAP akui berdepan cabaran pertahan kemenangan PRU-15 – Anthony Loke

0
2

DAP mengakui berdepan cabaran terbesar untuk mengekalkan momentum kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan mempertahankan mandat untuk mentadbir Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, Pulau Pinang merupakan tunjang kekuatan kepada DAP.

“Sejak kami memenangi mandat dari rakyat Pulau Pinang sejak PRU-12 pada 2008, DAP Pulau Pinang telah mengekalkan rekod kemenangan bersih di semua kerusi yang kita tandingi untuk tiga kali PRU berturut-turut.

“Justeru, kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Ketua Menteri dari DAP sejak 2008 telah membuktikan bahawa kami mampu melaksanakan pentadbiran yang bersih dan cekap serta mengamalkan dasar yang membantu semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Walaupun pada awal pentadbiran kami, ada pihak yang sering melempar pelbagai fitnah terhadap Kerajaan Negeri sehingga ada yang mendakwa azan dilarang di Pulau Pinang, namun rekod pentadbiran kami selama 14 tahun membuktikan pentadbiran agama Islam terus diperkasakan di seluruh negeri,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Pemukiman Kepimpinan DAP Pulau Pinang di Bukit Mertajam, semalam.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pimpinan DAP Pulau Pinang untuk terus berusaha membawa pembaharuan dan mewar-warkan rekod pentadbiran mereka ke seluruh negara.

“Ia kerana apa yang dilaksanakan di Pulau Pinang mempunyai impak yang besar di peringkat pusat.

“Contohnya, dasar Kerajaan Negeri untuk mengamalkan sistem tender terbuka sejak 2008 telah menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan penjimatan ini dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk dividen anti-rasuah seperti pemberian bonus tahunan RM200 kepada warga emas, bantuan-bantuan kewangan dan kebajikan kepada pelbagai lapisan masyarakat serta peruntukan tambahan untuk institusi agama, pendidikan dan sosial,” katanya.

Tambah Anthony, DAP Pulau Pinang juga perlu lebih agresif dan kreatif dalam penerangan dan publisiti dasar-dasar dan pencapaian Kerajaan Negeri supaya lebih ramai generasi pengundi muda mengetahui perubahan yang telah dicapai dalam tempoh 14 tahun yang lalu sejak ‘tsunami politik’ 2008.

“Saya juga memaklumkan pimpinan negeri berkenaan pelbagai langkah yang telah diambil oleh pimpinan CEC untuk bersedia menghadapi PRU-15 dan menegaskan koordinasi di antara pusat dan negeri mesti dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Saya juga memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pimpinan DAP Pulau Pinang untuk memulakan proses rundingan kerusi dengan parti komponen PH di peringkat negeri dan menghormati hasrat DAP Pulau Pinang untuk bertanding kerusi tambahan dalam PRU15,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here