Hamzah campur tangan urusan pemilihan Ketua Menteri?

0
3

PERSOALAN siapa yang akan diangkat sebagai Ketua Menteri Sabah masih menjadi tanda tanya dan dikatakan wujud campur tangan pihak lain dalam pemilihan berkenaan.

Difahamkan, Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin telah memohon dua nama untuk dipertimbangkan, masing-masing satu dari Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Berikutan itu, nama Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi PN Sabah, Datuk Hajiji Noor telah dikemukan.

Menurut sumber Umno, Tun Juhar setuju dan memilih Bung Moktar sebagai Ketua Menteri, namun mendapat tentangan dari Setiausaha Agung PN yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Hamzah Zainuddin menggunakan kuasanya untuk meminta Tun Juhar menerima Hajiji. Hamzah juga memaksa Ahli Undangan Negeri (ADUN) dari PN untuk terima Hajiji. 

“Berlaku banyak pertikaian di Magellan Club (lokasi mesyuarat Gabungan Rakyat Sabah) dan ramai tidak berpuas hati terhadap Hamzah,” kata sumber itu.

Justeru, kata sumber tersebut, wujud persoalan mengapa Hamzah membantah cadangan pelantikan Bung Moktar dan adakah nasib rakyat Sabah di dalam tangan beliau?

Malaysiapost sedang berusaha menghubungi Hamzah untuk mendapatkan respon beliau mengenai dakwaan tersebut.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menaungi Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), menang majoriti mudah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu lalu. – Malaysiapost