Menteri Agama minta klip video lagu raya Alif Syukri tidak disiarkan

0
2

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mengesahkan klip video lagu raya kontroversi membabitkan seorang ahli perniagaan sudah dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk siasatan pihak berkuasa.

Idris berkata, beliau juga berharap agar klip video berkenaan tidak disiarkan dimana-mana platform media, atau ianya boleh di‘private’kan hanya untuk tatapan peribadi pemilik video terbabit.

Katanya, beliau juga berharap dapat bertemu dengan ahli perniagaan berkenaan untuk membincangkan mengenai isu kontroversi terbabit.

“Saya mengambil maklum ada beberapa video yang tular berkenaan klip video raya yang dimuat naik oleh seorang ahli perniagaan yang tersohor di Malaysia.

“Saya terpanggil mengulas isu ini kerana pada ketika semua umat Islam pastinya berasa teruja mengejar 10 malam terakhir Ramadan mencari sebanyaknya pahala, seolah isu ini saya khuatir menenggelamkan keghairahan umat Islam dalam mengejar rahmat taqwa ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Idris berkata, video berkenaan kurang sesuai untuk dikaitkan dengan kemenangan umat Islam pada bulan Syawal selepas menempuh ujian dan tarbiyah di dalam bulan Ramadan.

“Ternyata terdapat perdebatan dan perbincangan yang agak panas di kalangan rakyat Malaysia terhadap klip video ini, yang diringi watak penari yang jauh daripada adab ketimuran dan ajaran Islam.

“Apatah lagi negara kita baru nak pulih daripada ingatan Allah terhadap bala Covid-19 yg melanda seluruh dunia,” katanya.

Justeru, beliau menasihati ahli perniagaan berkenaan menggunakan peluang dan rezeki diberikan untuk dimanfaatkan sebaiknya mengajak umat Islam menjauhi tingkahlaku yang menjarakkan diri dengan Allah terutama di bulan mulia.

“Sebagai tindakan awal, klip video ini telah saya rujuk kepada JAKIM untuk dibawa ke pihak berkuasa.

“Nasihat saya, dengan penuh kasih sayang dan cintanya saya kepada insan-insan hebat yang mampu membangunkan ummah, agar klip video seumpama ini boleh di keluarkan daripada disiarkan dimana-mana platform media, atau ianya boleh di ‘private’kan hanya untuk tatapan peribadi empunya video,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin ianya mampu memberi jiwa yang besar dan hati yang lebih lapang jika umat Islam patuh pada ajaran dan nilai agama.

“Malah, InsyaAllah Allah akan melapangkan lagi rezeki kepada kita atas patuhnya kita kepada Allah SWT.

“Dalam masa yang sama, saya seru untuk semua rakyat Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan cakna terhadap perkara yang boleh menyentuh sensitiviti agama yang makin baik dikalangan rakyat Malaysia.

“Jika ada peluang, mungkin saya boleh bertemu mata bersama dengan empunya video ini sebagai tanda ingatan dan ukhwah sesama Islam, dan mungkin banyak perkara yang boleh dikongsi bersama dalam pertemuan ini. InsyaAllah,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri ditegur dan disifatkan tidak menghormati bulan Ramadan selepas memuat naik video pendek lagu raya baru nyanyiannya.

Video pendek tersebut yang dimuat naik di laman Instagramnya mendapat pelbagai komen negatif daripada netizen kerana aksi beberapa orang penari dalam klip video itu yang dikatakan agak keterlaluan.

Di dalam video itu, Aliff Syukri dipaparkan sedang menyanyi sambil tiga orang penari lelaki menari dengan lincah di sampingnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here