
TAN Sri Annuar Musa menegur ahli Umno yang sering mempertikaikan kesetian ahli Umno yang lain terhadap parti.
Menurutnya, rasa curiga yang ditanam dalam kalangan ahli parti sendiri terhadap rakan dalam parti boleh menyebabkan Umno menjadi lemah.
“Percubaan mempertikaikan kesetiaan para sahabat yang kita tahu siang malam sepanjang hayat berjuang demi parti bukan satu cara yang baik. Ia satu tindakan menanam kebencian sesama ahli yang hanya akan melemahkan parti.
“Pendek kata, kalau pun jasa tak mahu dikenang, setiakawan mahu disalah ertikan, usah soal setia mahu dibicarakan,” katanya di Facebook miliknya, hari ini.
Ketua Umno Bahagian Ketereh itu berkata demikian berikutan beberapa pemimpin Umno mempertikai kesetiaannya terhadap parti kerana dilihat lebih condong mempertahan parti lain daripada parti sendiri.
Tindakan Annuar yang menyifatkan PASLeaks adalah dokumen kosong dan tidak boleh dipakai untuk menentukan pendirian PAS terhadap Umno, telah mengundang kecaman dari pemimpin Umno sendiri.
Dalam pada itu, Annuar menasihatkan ahli-ahli Umno bahawa kesetiaan kepada parti adalah lebih penting daripada memberikan kesetiaan kepada individu-individu tertentu.
Tanpa menyebut nama sesiapa, Annuar menyenaraikan perbuatan disifatkannya telah melanggar kesetiaan parti.
“Bercakap tentang setia kepada parti, adalah satu tajuk yg sentiasa menarik. Malah hampir semua orang bercakap tentang setianya mereka pada parti. Kadangkala bukti setia mereka adalah dengan menuduh pihak lain tidak setia.
“Kesetiaan pada parti memang amat penting. Ia berbeza dengan setia kepada individu, yang kadangkala dianggap sebagai tanda setia pada parti. Kesilapan individu, perlakuan individu yang menyalahi roh, matlamat dan semangat perjuangan parti tidak boleh menuntut kesetiaan kerana itu individu dan bukannya parti.
“Membelakangi mandat parti, tidak menjunjung amanah parti, tindakan tidak patuh kepada keputusan parti, lain ditetapkan parti lain dibuat di luar pengetahuan parti, membohongi parti adalah antara tanda tidak setia kepada parti,” katanya.
Terdahulu hari ini, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli parti yang setia akan memastikan keutamaan parti sendiri adalah nombor satu, manakala kepedulian parti luar lebih-lebih lagi yang telah mengkhianati muafakat tidak wajar diberi tempat dalam keutamaan parti.
Ahmad Zahid juga mengingatkan pemimpin Umno agar mengutamakan parti sendiri, bukannya mempertahankan parti lain.
Tanpa menamakan mana-mana pemimpin, teguran itu dipercayai ditujukan Annuar susulan kenyataannya berhubung dokumen ‘PASleak’.
Baru-baru ini Annuar menyifatkan dokumen ‘PasLeak yang tersebar di media sosial baru-baru ini tidak memiliki elemen yang luar biasa hingga memerlukan semua pihak memperbesarkan isu tersebut.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, penelitian terhadap dokumen berkenaan didapati tidak terdapat perancangan dibuat oleh golongan tertentu seperti digembar-gemburkan beberapa pihak ketika ini. – Malaysiapost
