Lebih 200,000 pengunjung datang beli belah di Bazar Aidilfitri Jalan TAR

0
2

KEMERIAHAN menjelang perayaan Aidilfitri semakin terasa selepas Bazar Aidilfitri di Lorong Tunku Abdul Rahman (TAR) menerima kunjungan 210,000 pengunjung yang datang membeli belah daripada 9 April lalu sehingga semalam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, berkata rekod harian pengunjung paling tinggi adalah pada 17 April lalu, di mana seramai 21,600 orang datang membeli keperluan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Beliau menerusi video yang dimuat naik laman Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mengingatkan pengunjung agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa menjaga keselamatan.

“Selain perlu mematuhi SOP pemakaian pelitup muka, pengunjung dinasihati sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan terutama mereka yang membawa kanak-kanak kecil.

“Saya juga nasihatkan pengunjung yang mahu datang supaya menggunakan pengangkutan awam seperti bas atau Transit Aliran Ringan (LRT) untuk mudah bergerak tanpa perlu membuang masa mencari tempat letak kereta yang berkurangan,” katanya dalam video itu.

Mahadi berkata, seramai 420 anggota penguat kuasa termasuk DBKL, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditugaskan di lokasi bazar jalan TAR.

Katanya, ianya bagi pemantauan keselamatan di bazar tersebut selain memastikan aliran trafik sentiasa lancar.

Bazar jalan TAR beroperasi sehingga 2 Mei melibatkan 206 petak khemah dengan waktu operasi dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam kecuali pada Jumaat, Sabtu dan Ahad hingga jam 2 pagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here