PH memang tolak pembinaan lapangan terbang di Seri Iskandar – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) Perak terdahulu memang membuat keputusan tidak meneruskan rancangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa di Seri Iskandar, selepas Barisan Nasional (BN) jatuh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sebaliknya PH mahu memindahkan lokasi lapangan terbang baharu itu ke Tapah atau Tanjung Malim, lebih jauh daripada Ipoh.

“Sebelum PRU14, saya yang lancar pelan untuk bina Lapangan Terbang Antarabangsa baharu di Seri Iskandar, Perak.

“Tapak tanah juga telah dirizabkan kepada agensi kerajaan Perak,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Najib bagaimanapun tidak menyangka tapak lapangan terbang baharu di Seri Iskandar itu telah dijual oleh kerajaan PH kepada pemaju tanpa sebarang pengumuman.

Katanya, apa yang lebih melucukan adalah bekas Exco Kerajaan Perak era PH kini menafikan mengetahui bahawa tapak tersebut sudah dijual semasa mereka masih dalam kerajaan.

“Sekiranya undi BN masa PRU14, Perak akan dapat lapangan terbang antarbangsa baharu.

“Tapi mereka undi PH pula dan lapangan terbang antarabangsa baharu Perak bukan sahaja tidak menjadi realiti malah tapak tanah baginya turut hilang juga.

“Lepas hilang, orang PH bergilir-gilir buat tak tahu,” katanya.

Isu penjualan tanah lapangan terbang berkenaan timbul selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Aulong, Nga Kor Ming pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mendakwa tanah itu sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here