KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan Kementerian Pertahanan yang didakwa belum menjawab secara terperinci kos sebenar pemerolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS).
Anwar berkata, beliau mengambil maklum keputusan kerajaan yang bersetuju projek perolehan LCS diteruskan.
“Namun, menurut rekod soalan-soalan di Parlimen yang diajukan saya sebelum ini kepada Kementerian Pertahanan masih belum menjawab secara terperinci terutamanya tentang kos sebenar pemerolehan LCS.
“Menteri jangan ambil mudah hal ini kerana bukan hanya kerana ia melibatkan sejumlah dana yang besar, tapi atas dasar ketelusan ia mesti dijawab.
“Saya juga tuntut menteri menjelaskan tentang berapa kerugian yang ditanggung Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akibat keputusan ini,” katanya menerusi kenyataan.
Kelmarin, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Kabinet telah mengarahkan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas ditubuhkan bagi memantau agar tiada ketirisan dalam pelaksanaan projek perolehan LCS.
Menteri Kanan Pertahanan itu berkata, proses mobilisasi projek LCS ini juga akan dipantau dan dilaporkan setiap bulan kepada Kabinet.
Terdahulu, media melaporkan Mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebulat suara memuktamadkan supaya projek perolehan LCS diteruskan.
Hishammuddin berkata keputusan itu dibuat Kabinet selepas mengambil kira dua faktor utama iaitu LCS adalah aset yang amat dimahukan dan diperlukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan terdapat 400 vendor yang terlibat dalam projek berkenaan dengan implikasi kewangan lebih RM4 bilion. – Malaysiapost

