RAMAI tersenyum lebar minggu ini apabila permohonan pengeluaran khas RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dikreditkan ke akaun masing-masing.
Rata-rata ramai yang menggunakan Wang caruman tersebut untuk membayar hutang, modal perniagaan mahupun simpanan untuk kegunaan ketika kecemasan.
Sementara bagi satu pasangan suami isteri ini, impian memiliki sebuah kenderaan berbumbung akhirnya tercapai apabila membeli Perodua Kancil menggunakan Wang simpanan KWSP.
Berkongsi mengenainya, seorang pengguna media sosial, Atikah berkata dia dan suami amat bersyukur kerana pengeluaran KWSP membolehkan impian keluarganya untuk memiliki kereta tercapai setelah sekian lama hanya bergantung kepada sebuah motosikal.
Walaupun sekadar kenderaan kecil, namun ia cukup bermakna untuk mereka bergerak bersama dua anak.
BACA LAGI: Netizen geli hati baca komik Eco Shop di ‘billboard’ lebuh raya
“Rezeki anak-anak dapat duit KWSP terus beli kereta.
“Saya anak dua baru merasa ada kereta, sebelum ini pergi mana-mana naik motor dengan panas-panas, bila anak nak susu terpaksa duduk tepi jalan buat susu dulu,” katanya.
Menerusi video dikongsi Atikah, apa yang lebih memberi kepuasan apabila melihat reaksi anak sulungnya yang sungguh teruja dihantar ke sekolah menaiki kereta.
“Hari ini bermula lah hantar anak ke sekolah naik kereta, tengok muka anak sulung itu seronok sahaja,” kongsinya.
Perkongsian Atikah mendapat perhatian netizen yang rata-rata melahirkan rasa terharu dan gembira melihat impian keluarga tersebut menjadi kenyataan. – Malaysiapost
Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

