Amat sukar PH jalin kerjasama dengan PN – DAP

0
2
https://www.facebook.com/photo/?fbid=525797745577810&set=pb.100044427668163.-2207520000..

SEMUA pihak dalam Pakatan Harapan (PH) perlu sedar amat sukar kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dapat dijalinkan, kata Anthony Loke Siew Fook.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, ia berikutan sejarah hitam yang pernah lalui PH dengan parti-parti komponen dalam PN.

Merujuk kenyataan pemimpin Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menyeru PH membuka ruang kerjasama dengan PN, Siew Fook berkata ia adalah pandangan peribadi dan tidak pernah diputuskan dalam Majlis Presiden PH.

“DAP berpendirian bahawa isu kerjasama antara PH dan PN dalam PRU15 tidak timbul kerana PN merupakan sebahagian daripada blok kerajaan hari ini.

“Konsep “khemah besar” yang dipersetujui dalam Resolusi Port Dickson merujuk kepada kerjasama dalam blok pembangkang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

BACA LAGI: PRU15: DAP, PH bertanding dengan semangat untuk menang

Sehubungan itu, Siew Fook meminta semua pimpinan dalam PH supaya membincangkan sebarang pandangan berkenaan kerjasama politik dengan pihak lain dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

Beliau juga meminta sebarang pandangan bukannya melalui kenyataan terbuka untuk memastikan tidak ada kekeliruan dalam kalangan ahli dan penyokong mereka.

“Segala keputusan mengenai halatuju dan kerjasama di luar kerangka PH mesti diputuskan secara bersama oleh Majlis Presiden PH,” katanya lagi.

Semalam, Salahuddin dilaporkan media meminta pemimpin pembangkang berjiwa besar memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan ‘Khemah Besar’ sebagai persediaan menghadapi PRU15.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden Amanah itu menyarankan PH membuka pintu rundingan dan perbincangan termasuk kepada Bersatu dan PAS bagi menghadapi Barisan Nasional (BN). – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Anthony Loke Siew Fook

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here