Covid-19: 150 kes baharu, ragut satu lagi nyawa

0
3

SEBANYAK 150 kes baharu Covid-19 dicatatkan hari ini dengan satu kematian di Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ia menjadikan jumlah kes positif di Malaysia mencecah 10,919 kes dan jumlah keseluruhan kematian adalah 134 orang.

Menurut Dr Noor Hisham, terdapat penambahan tiga kluster baharu yang telah dikenal pasti, iaitu dua di Sabah;
Kluster Buang Sayang dan Kluster Kg Sakong serta satu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu Kluster Setapak.

“Daripada daripada 150 kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang mendapat jangkitan luar negara di mana tiga adalah warganegara dan seorang bukan warganegara.

“Daripada 146 kes penularan dalam negara, iaitu 124 kes adalah warganegara dan 22 kes adalah bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, daripada 124 kes positif Covid-19 di Sabah membabitkan 58 kes daripada Kluster Benteng LD, 20 kes daripada Kluster Bangau-Bangau, 13 kes daripada Kluster Bakau, 10 kes daripada Kluster Pulau, lapan kes daripada Kluster Kg Sekong dan tiga kes daripada Kluster Buang Sayang.

“Manakala terdapat 10 kes di Selangor, empat kes di Pahang, tiga kes di Wilayah Kuala Lumpur, dua di Johor, dua di Sarawak serta satu di Melaka,” katanya.

Katanya lagi, terdapat enam kes positif Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan. -Malaysiapost