Muhammad Mustakim Ramli
CUBAAN menyeludup dadah jenis syabu bernilai RM11.3 juta berjaya dipatahkan pasukan Meritim Kedah dan Perlis di timur Laut Tanjung Kamarong, Langkawi, kelmarin.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah, berkata ketulan syabu seberat 56.5 kilogram yang diletakkan dalam dua beg hitam cuba diseludup dari negara jiran menerusi perairan Langkawi sebagai transit yang dipercayai untuk dihantar ke luar negara.
“Hasil maklumat risikan dan pemantauan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Langkawi pada hari Jumaat jam lebih kurang 1.00 pagi, Bot Maritim Malaysia mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot kayu bersama dua suspek dari arah sempadan negara jiran melalui perairan berhampiran Tanjung Kemarong.
“Bot suspek bertindak memecut lari apabila menyedari kehadiran anggota kita sedang menghampiri mereka.
“Dalam usaha melepaskan diri, bot kayu itu beberapa kali cuba merempuh bot yang dinaiki kita yang mengejar mereka selama hampir 40 minit sebelum dua suspek bertindak nekad terjun ke laut,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, sejurus bot Maritim Malaysia berjaya merapati dan menghentikan bot suspek, dua beg hitam dijumpai disorok di bawah pukat di haluan hadapan bot.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati beg-beg tersebut mengandungi 51 bungkusan teh cina dibaluti plastik lut sinar mampat yang mengandungi hablur warna putih yang disyaki dadah jenis syabu.
“Operasi Carilamat diaktifkan selepas usaha kru bot Maritim Malaysia mencari dua suspek yang terjun ke laut tidak berjaya ditemui akibat cuaca buruk dan keadaan laut yang bergelora ketika kejadian.
“Sehingga hari ini Op Carilamat masih diteruskan dan pasukan SAR belum menemui sebarang petunjuk,” katanya.
Katanya, kesemua syabu dan bot suspek dibawa ke jeti di Bukit Malut dan diserah kepada pegawai penyiasat MNKP untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.-Malaysiapost

