Covid-19 | Mulai hari ini polis akan menangkap dan mendakwa lebih 2,000 individu yang masih belum menjalani ujian saringan kali kedua pada hari ke-13.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata susulan amaran pihak berkuasa sebelum ini, ramai daripada individu terbabit telah berbuat demikian semalam dan kelmarin.
“Baki yang belum (saringan kali kedua) akan dicari hari ini,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Kelmarin, Ismail dilaporkan berkata seramai 2,897 individu belum menjalani ujian saringan kedua pada hari ke-13 sesi kuarantin di rumah.
Berikutan itu, semua individu terbabit diarahkan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat bagi melakukan ujian saringan kedua.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib 14 hari kerana ia akan menyusahkan banyak pihak.
“Misalnya wanita yang dikesan makan di sebuah restoran… wanitu itu didapati positif Covid-19, jadi ramai pelanggan terpaksa dicari untuk menjalani saringan dan restoran tutup, kesannya amat besar.
“Jadi PDRM akan mengambil tindakan tegas,” katanya.
Beliau menegaskan individu yang kuarantin di rumah dilarang keluar menyambut Aidiladha Jumaat ini, sebaliknya mereka mesti terus berada dalam bilik sepenuhnya.
“Individu yang menjalani kuarantin dilarang keluar rumah, apa lagi pulang ke kampung, tak boleh hadir solat sunat Aidiladha dan tak boleh terima tetamu.
“Kalau orang ramai nampak individu pakai gelang kuarantin (berada di majlis Aidiladha), lapor kepada pihak berkuasa,” tegasnya.

