Parlimen | Pemandu cuai dan berbahaya hingga menyebabkan kematian akan berdepan hukuman penjara lima hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 dan RM50,000, menurut pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan.
Bagi hukuman kes kali kedua dan berikutnya, penjara akan dikenakan antara 10 hingga 15 tahun dan denda dinaikkan kepada RM50,000 hingga RM100,000.
Pemandu yang disabit kesalahan mengikut Seksyen 41 juga akan disekat daripada memiliki atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun.
Bacaan kali pertama pindaan RUU itu dibentangkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Dewan Rakyat selepas sesi soal jawab pagi tadi.
RUU itu juga bertujuan meminda Seksyen 41 bagi pemanduan cuai dengan menambah tempoh larangan mempunyai lesen memandu daripada dua kepada lima tahun, selain menaikkan denda daripada RM4,000 hingga RM10,000 kepada RM10,000 hingga RM15,000.
Seksyen 41 berkenaan memperuntukkan kesalahan pemanduan berbahaya hingga menyebabkan kematian manakala Seksyen 42 adalah untuk pemanduan berbahaya.
Pindaan RUU itu juga bertujuan untuk membanteras pemandu mabuk selain menaikkan hukuman mengikut Seksyen 44 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Dalam pindaan dicadangkan, individu yang memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara 10 hingga 15 tahun dan denda RM100,000.
Sabitan berikutnya akan dikenakan penjara 15 hingga 20 tahun dan denda antara RM100,000 hingga RM150,000.
Memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kecederaan akan berdepan hukuman penjara tujuh hingga 10 tahun dan denda RM30,000 hingga RM50,000.
Sabitan berikutnya boleh dikenakan penjara 10 hingga 15 tahun dan denda RM50,000 hingga RM100,000.
Individu yang didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk tidak akan dibenarkan memiliki lesen memandu bagi tempoh tidak kurang tujuh tahun dari tarikh sabitan.

