Mohd Puad dilantik sebagai Speaker DUN Johor

0
4
puad zarkashi

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, dan mengangkat sumpah jawatan berkenaan hari ini.

Pencalonan Mohd Puad itu dikemukakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada sesi Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang ke-15.

Memetik laporan Berita Harian, Onn Hafiz yang juga Adun Machap hanya mencadangkan satu nama sebagai calon Speaker sebelum pencalonannya itu disokong Adun Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip.

Mohd Puad, 64, menggantikan Suhaizan Kaiat dari parti Amanah yang memegang jawatan itu sejak 2018 hingga awal tahun lalu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 40 kerusi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12).

Sementara itu, Mohd Puad ketika berucap selepas secara rasmi dilantik sebagai Speaker dan dipakaikan pakaian rasminya berkata, beliau berterima kasih atas kepercayaan Menteri Besar yang memilihnya sebagai Speaker.

Katanya, beliau beriltizam untuk memikul amanah yang diberikan itu dengan bersungguh-sungguh dan penuh dedikasi.

“Saya ingin mengingatkan ahli dewan supaya sentiasa ingat terhadap titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar ketika bertitah merasmikan Mesyuarat Pertama Persidangan Keempat DUN Johor yang mahu semua ahli dewan sentiasa berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri.

“Jangan dibenarkan dewan ini dengan perangai buruk, ini adalah dewan mulia bukan dewan sangkar beruk titah baginda.

“Justeru marilah kita ahli dewan berbahas secara tertib dan konstruktif. Kita memikul tanggungjawab sebagai pembina bangsa dan negara. Peliharalah keunggulan nama bangsa Johor,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here