TENTERA Israel melancarkan beberapa siri serangan udara ke beberapa lokasi di Semenanjung Gaza, tengah malam tadi.
Video berdurasi 31 saat yang memaparkan kejadian itu dimuat naik menerusi laman Twitter sebuah portal tempatan, Quds News Network.
Laporan portal tersebut yang memetik sumber memaklumkan kapal terbang perang Israel melancarkan 12 peluru berpandu di tengah bandar Gaza sehingga menyebabkan kebakaran di kawasan tersebut.
Kelmarin, Israel melancarkan serangan udara pertamanya di Semenanjung Gaza dalam beberapa bulan, sebagai tindak balas kepada roket yang dilepaskan dari kawasan Palestin selepas keganasan hujung minggu di sekitar tapak suci Baitulmaqdis.
Siren amaran dibunyikan di selatan Israel selepas serangan roket tersebut dilancarkan ke wilayah Zionis.
Roket itu berjaya dipintas pihak berkuasa Israel dan dilaporkan jatuh ke dalam laut di luar Tel Aviv. – Malaysiapost

