SEORANG guru wanita yang bertugas di Lipis, Pahang mendakwa kerugian RM89,200 selepas menjadi mangsa ‘Parcel Scam’ sejak 9 April lalu.
Mangsa berusia 35 tahun itu mendakwa mula menerima pesanan ringkas melalui laman sosial Instagram daripada suspek yang memberitahu ingin berkenalan.
Suspek yang menggunakan nama ‘Hasril Afiq’ kemudiannya bertanyakan tarikh lahir mangsa kerana kononnya ingin menghantar hadiah.
Mangsa yang termakan dengan pujukan suspek akhirnya memberikan nombor telefon bagi memudahkan mereka berhubung.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Deputi Superintendan Yap Huat Tian berkata, mangsa menerima panggilan daripada seorang lagi suspek yang dipercayai menyamar sebagai pekerja syarikat kurier pada 10 April.
“Suspek kedua ini memperkenalkan diri sebagai ‘Ahmed’ dan memaklumkan bungkusan hadiah yang dihantar kepada mangsa ditahan pihak kastam kerana bungkusan itu mengandungi pelbagai barangan berharga termasuk wang tunai USD60,000.
“Suspek mengarahkan mangsa memindahkan sejumlah wang ke akaun diberikan sekiranya ingin mendapatkan bungkusan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa kemudian melakukan 12 kali pindahan wang ke beberapa nombor akaun diberikan suspek dengan jumlah kerugian keseluruhan RM89,200.
Huat Tian berkata, mangsa tampil membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Sungai Koyan, Lipis, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Malaysiapost

