BEKAS Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, 64, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Dublin, Ireland, hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, dalam kenyataan rasminya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Mewakili seluruh warga Perkhidmatan Awam Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Dr Ali Hamsa yang telah kembali ke rahmatullah pada hari ini, 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadan 1443H di Hospital Dublin, Ireland.
“Sesungguhnya, pemergian beliau di bulan Ramadan yang mulia ini merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan perkhidmatan awam.
“Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Allahyarham merupakan tokoh besar dalam Perkhidmatan Awam Negara.
Beliau merupakan anak jati Johor serta dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-13, menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1981.
Menelusuri sejarah gemilang perkhidmatannya, beliau telah menabur bakti di pelbagai Kementerian dan Jabatan antaranya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengangkutan, Unit Perancang Ekonomi, INTAN, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri. – Malaysiapost

