Pelan HIJRAH24 bakal perkasa TH – PM

0
2

HIJRAH24 iaitu Pelan Transformasi Strategik Tabung Haji 2022-2024 akan memacu Tabung Haji (TH) untuk tiga tahun ke hadapan bagi menempuh cabaran yang mendatang.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merasmikan pelan berkenaan semalam, berkata ia merangkumi 24 inisiatif strategik untuk mencapai aspirasi TH.

Menurutnya, tumpuan HIJRAH24 adalah kepada pengukuhan struktur tadbir urus korporat, operasi serta didorong oleh inisiatif digitalisasi.

“Saya mendoakan agar HIJRAH24 ini dapat dikotakan pada akhir tempoh 2024 seperti yang dirancang. Syabas juga saya ucapkan kepada TH kerana sentiasa bersedia melakukan transformasi untuk kekal dan berkesan.

“Ini kerana sesebuah syarikat tidak akan maju jika hanya menunggu dan tidak mengambil langkah berani untuk mencuba sesuatu yang baharu sesuai dengan kehendak pemegang taruh,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Pelancaran Pelan HIJRAH24 Lembaga Tabung Haji di Dewan Besar Menara Tun Razak, malam tadi.

Ismail Sabri berkata, bagi kerajaan ia menaruh keyakinan terhadap TH dan akan terus memberi sokongan atas usaha dan inisiatifnya demi kebaikan jemaah haji khususnya, dan umat Islam umumnya.

Menurutnya, TH merupakan antara pengurus pelaburan patuh syariah berkumpulan terbesar di Malaysia dengan aset di bawah pengurusan bernilai RM87.3 bilion dengan deposit berjumlah RM86.5 bilion daripada 8.4 juta pendeposit.

“Pembabitannya dalam pelbagai sektor ekonomi patuh syariah telah menjana pendapatan yang halal dan baik, seterusnya dikongsi bersama dengan para pendeposit melalui agihan keuntungan setiap tahun.

“Sejak 1966 sehingga tahun lepas, TH telah mengagihkan sebanyak RM35.6 bilion keuntungan kepada pendepositnya.

“Dari tahun 2001 pula, TH telah memberi bantuan kewangan haji berjumlah RM2.02 billion bagi meringankan beban kewangan jemaah Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, sejak pandemik Covid-19, banyak syarikat serta perniagaan yang terkesan dan terpaksa melakukan perubahan drastik dalam struktur operasi syarikat masing- masing.

“Saya pasti TH tidak terkecuali daripada berbuat demikian supaya terus kekal dan berwibawa selari dengan arus semasa.

“Saya juga yakin TH telah mengenal pasti perkhidmatan yang boleh disesuaikan dengan norma baharu dan situasi terkini, selain berdaya tahan dan bersedia untuk menghadapi masa hadapan,” katanya

Menurutnya, HIJRAH24 yang dirasmikan petang ini diyakini dapat melonjakkan semula aktiviti perniagaan serta pelaburan TH bagi memastikan kesinambungan dan kecemerlangannya secara berterusan.

“Saya juga dimaklumkan bahawa pelan ini dibangunkan selari dengan nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia yang menerapkan pengkayaan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here