Hans Isaac umum tanding Ketua Cabang PKR Ampang

0
1

PELAKON, pengarah dan penerbit filem, Datuk Hans Isaac, 50, mengumumkan menawar diri untuk bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Ampang pada Pemilihan PKR 2022.

Perkara tersebut dinyatakan menerusi kenyataan media yang dimuat naik di laman Facebook rasmi pelakon itu, semalam.

Menurut Hans, perlunya perubahan terutama di Ampang dengan kepimpinan yang lebih kukuh dalam mendengar suara rakyat.

Katanya, keputusan untuk bertanding setelah mengambil kira ‘Langkah Sheraton’ serta ketidaktentuan politik yang berlaku sehingga menyebabkan wujud krisis kepercayaan rakyat terhadap ahli politik.

“Mengambil kira tragedi Langkah Sheraton yang berlaku tidak lama dahulu, telah menggoncang kesetiaan dan kepercayaan rakyat yang selama ini bertindak berani membawa dinamik perubahan terhadap tampuk kepimpinan yang pada ketika itu terpalit dengan pelbagai skandal dalaman.

“Iklim politik tanah air yang semakin tidak menentu dan ekonomi yang mendesak nyata tidak membantu rakyat dalam meniti kehidupan yang semakin mencabar,” katanya dalam hantaran itu.

Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Issac, berkata aspek senioriti dalam pentas politik juga tidak menjanjikan kecemerlangan, justeru perlu ada pembaharuan bagi mengembalikan keyakinan rakyat khususnya di peringkat akar umbi.

“Bertitik tolak dari peristiwa ini, saya berpendapat betapa jelas perlunya perubahan di Ampang dan kepimpinan yang lebih kukuh dalam memastikan setiap suara rakyat didengari.

“Ternyata aspek ‘seniority’ di pentas politik tidak menjanjikan kecemerlangan maka tidak seharusnya ‘ahli baru’ dipertikai.

“Demi mengekalkan gelombang Keadilan di Ampang, adalah wajar untuk menggamit kembali keyakinan rakyat khasnya di peringkat akar umbi sekali gus memperjuang serta memperkasa idealisme parti,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, pelakon filem Persona Non Grata itu berkata beliau yakin kini bersedia dalam membawa perubahan khususnya bagi PKR Cabang Ampang.

“Misi kita adalah begitu jelas dalam memastikan Ampang dipimpin oleh mereka yang berkemampuan membawa PKR kembali dipercayai oleh rakyat.

“Setelah mendapatkan pandangan keluarga dan rakan-rakan seperjuangan di dalam Keadilan, saya dengan rendah dirinya ingin mengumumkan bahawa saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Cabang Keadilan Ampang pada Pemilihan Parti 2022,” jelasnya.

Sebelum ini, Datuk Afdlin Shauki dan Altimet juga antara insan seni yang berkecimpung dalam dunia politik turut menawarkan diri bertanding dalam Pemilihan PKR 2022. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here