PAS menafikan dakwaan kononnya parti itu mengatur gerakan untuk menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagaimana yang tercatit dalam dokumen minit mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang tular di media sosial.
Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata butiran dokumen berkenaan adalah palsu dan ‘sampah’ bagi memfitnah PAS serta PN.
“Dokumen sampah macam tu ada orang percaya juga? Saya gelak membacanya sebab eja nama saya pun tidak betul.
“Ia tidak benar dan saya tidak tahu datang daripada mana, bagi saya ia adalah sampah,” katanya seperti dilapor Utusan Online.
Terdahulu, tular beberapa dokumen dipercayai minit mesyuarat PN mengenai pertemuan antara Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan beberapa pemimpin parti lain pada 24 dan 27 Mac di samping 4 dan 7 April lalu.
Antara pemimpin itu ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diikuti Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri mengakui wujud pertemuan dengan pemimpin disebutkan dalam dokumen tular itu namun, butiran terperinci mengenainya adalah rekaan semata-mata.
“Pertemuan ada cuma kapasiti yang berbeza dan dicampur-campur, mungkin orang itu tahu ada pertemuan, maka dibuatlah naratif sebegitu,” katanya.
Ahmad Samsuri menjelaskan, PAS belum memikirkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar berita palsu itu kerana proses mahkamah yang rumit dan mengambil masa.
“Kita pun tidak tahu siapa yang menyebarkannya dan proses undang-undang pun rumit, ibaratnya tiada kerja lain kalau hari-hari kena membuat laporan polis serta ke mahkamah kerana isu viral,” katanya. – Malaysiapost

