Dewan bedah HQE ditutup dua hari

0
3

PERKHIDMATAN dewan bedah di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, Sabah terpaksa ditutup selama dua hari bermula hari ini susulan gangguan bekalan elektrik yang dialami hospital berkenaan sejak semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata dewan pembedahan berkenaan terpaksa ditutup sementara untuk memastikan bekalan elektrik ke semua wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah mencukupi dan stabil.

“Sebanyak 28 pembedahan bukan kecemasan (elektif) yang dijadualkan pada hari ini ditunda, manakala kes-kes yang memerlukan pembedahan kecemasan akan dilakukan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).

“Pada masa ini, syarikat konsesi Sedafiat Masih berusaha untuk membaiki kabel elektrik yang rosak agar bekalan elektrik pulih seperti sediakala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak HQE dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan sentiasa mengemaskini status pembaikan bekalan elektrik dan perkhidmatan rawatan di HQE dari semasa ke semasa.

Terdahulu gangguan bekalan elektrik di HQE dilaporkan bermula jam 11.54 pagi semalam membabitkan semua fasiliti di menara berkembar, klinik pakar dan block bangunan perubatan lama hospital berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here