‘Saya bukan seorang yang bankrap’ – Mawar Karim

0
2

USAHAWAN tudung terkenal Mawar Karim menjelaskan bahawa tidak mengenali individu atau plaintif yang menghantar notis tuntutan bayaran sebanyak RM720,000 terhadapnya seperti yang tular baru-baru ini.

Mawar, 32, juga menafikan dakwaan bahawa dirinya kini muflis akibat gagal membayar pinjaman seperti yang didakwa sebuah portal hiburan tempatan.

“Saya bukan seorang yang bankrap (muflis) seperti yang dilaporkan di media sosial baru-baru ini,

“Saya tidak boleh komen secara terperinci kerana masih dalam proses mahkamah. Bila saya dapat perintah ingkar dari mahkamah secara jujurnya saya tidak mengenali plaintif dan tiada urusan dengan plaintif,” katanya dalam sidang media di Chasement Apartment Hotel, Cheras hari ini.

Mengulas berkenaan individu ‘S’ yang didakwa cuba mensabotaj namanya, bekas isteri pelakon Fizo Omar itu menjelaskan ‘S’ adalah salah seorang yang bakal dipanggil ke mahkamah berkaitan kes tersebut.

“S yang saya maksud dia adalah kenalan dan salah seorang yang akan dipanggil dalam kes mahkamah nanti. Saya tidak boleh dedahkan siapa S itu,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Mawar mendakwa ‘S’ telah beberapa kali menabur fitnah terhadapnya bermula dengan isu sekatan jalan raya, lari daripada membayar hutang, dan terkini, isu bankrap.

Usahawan yang terkenal dengan jenama tudung Fareeda itu dikatakan bakal berdepan tindakan pengisytiharan muflis sekiranya gagal melunaskan hutang sebanyak RM 720,000 yang dipinjam olehnya daripada seorang sahabat.

Mawar dipercayai membuat pinjaman daripada seorang kenalannya, Nabil Mat Yahya sebagai modal memulakan perniagaannya.

Bagaimanapun, dia dilaporkan gagal melunaskan hutang tersebut secara ansuran dalam tempoh tujuh bulan, bermula tarikh pinjaman iaitu 7 Jun 2021 seperti yang terkandung dalam perjanjian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here