Tular tidak pakai pelitup muka di pasar raya, warga Kanada ditahan

0
2

SEORANG lelaki warga asing yang tular di media sosial kerana tidak memakai pelitup muka dan mengeluarkan kata-kata kesat serta menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan di pasar raya Village Grocer M-City Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini kini ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata lelaki warga Kanada itu ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju malam tadi.

Menurutnya, terdahulu pihaknya sudah mengeluarkan satu siaran media berkenaan video tular memaparkan insiden membabitkan warga asing berkenaan pada Ahad lalu.

“Pada kira-kira jam 8.30 malam tadi suspek yang terlibat dalam kes yang disiasat telah hadirkan diri semalam di IPD Wangsa Maju untuk memberi keterangan setelah menyedari videonya tidak memakai pelitup muka viral di media sosial.

“Pihak polis kemudiannya telah menahan suspek berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ashari berkata, suspek merupakan warganegara Kanada berumur 44 tahun dan bekerja serta menetap di Kuala Lumpur.

“Kes masih disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan),” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat dalam kejadian ini boleh tampil memberi maklumat atau menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here