Mercun bernilai hampir RM700,000 dirampas

0
1

SEJUMLAH mercun bernilai hampir RM700,000 berjaya dirampas oleh Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Johor dalam Op Kontraban di Taman Perdana Indah, Sungai Abong, Muar dan Taman Bukit Kempas, Johor Bahru, semalam.

Dalam operasi berkenaan empat lelaki berjaya ditahan membabitkan warga asing dan tempatan berusia lingkungan 27 hingga 41 tahun.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Superintendan Dimin Awang, berkata serbuan pertama dijalankan di Sungai Abong, Muar pada jam 11 pagi dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warganegara asing yang berusia 27 dan 29 tahun.

“Hasil pemeriksaan dalam sebuah lori menemui lima kotak besar mengandungi pelbagai jenis mercun dan tujuh guni berisi mercun bola.

“Pemeriksaan dalam premis pula menjumpai 434 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan lima lagi guni berisi mercun bola,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan berkenaan berjumlah RM560,300 dan tangkapan serta rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957 dan tangkapan serta rampasan ini berjaya memutuskan satu kegiatan pengedaran dan penjualan mercun di sekitar daerah Muar,” katanya.

Beliau berkata, serbuan kedua adalah di Taman Bukit Kempas yang berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 37 dan 41 tahun serta merampas 30 kotak besar mengandungi pelbagai jenis mercun di sebuah premis.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk sebuah van jenis Daihatsu Gran Max adalah RM101,950.

“Tangkapan dan rampasan kemudian diserahkan kepada IPD Johor Bahru untuk siasatan lanjut mengikut Akta Bahan Letupan 1957.

“Kejayaan ini berjaya memutuskan kegiatan pengedaran dan penjualan mercun sekitar kawasan Kempas dab suspek juga bertindak menjadikan premis yang diserbu sebagai pusat simpanan mercun sebelum diedarkan kepada peniaga-peniaga kecil,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here