Trend guru bersara awal perlu intervensi kerajaan – Tok Mat

0
2

PENDEDAHAN Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang menganggarkan lebih 10,000 guru telah membuat pilihan persaraan awal setiap tahun sejak kebelakangan ini dilihat sebagai trend yang membimbangkan.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pendedahan NUTP mengenai keadaan itu dalam satu kenyataan semalam perlu diberikan penjelasan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurutnya, angka yang dianggarkan itu jauh melebihi angka yang dikeluarkan KPM pada 9 November 2021, iaitu sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru bermula Januari 2021.

“Jika anggaran yang dibuat oleh NUTP itu benar, maka ‘trend’ bersara awal mahupun berhenti dan meninggalkan perkhidmatan dalam kalangan guru ini adalah sangat membimbangkan.

“KPM wajar tampil menjelaskan angka sebenar dan menjelaskan dengan terperinci kegusaran NUTP itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pelbagai cabaran dihadapi oleh guru ketika pandemik Covid-19 adalah sangat difahami dan ia sangat menguji ketahanan emosi serta psikologi mereka para guru.

“Apatah lagi bila dibebankan dengan kerja-kerja perkeranian yang akhirnya mengganggu tugas hakiki.

“Intervensi kerajaan dalam perkara ini adalah sangat penting. Persaraan awal guru-guru berpengalaman adalah kerugian yang sangat besar kepada negara.

“Sekiranya berlanjutan, negara bakal menghadapi krisis pendidikan yang lebih kritikal. Ia akan memberi kesan kepada kualiti dan kebolehsaingan sistem pendidikan kita,” katanya.

Beliau berkata, aspirasi untuk menjadikan sekolah dan mutu pendidikan Malaysia setaraf dengan mutu antarabangsa akan pasti terjejas jika keadaan berkenaan benar berlaku.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pendidikan wajar memanggil wakil KPM untuk menjelaskan perkara ini agar melalui ketelusan, suatu penyelesaian jangka waktu panjang dapat dirumuskan.

“Guru adalah katalis sangat penting dalam memajukan bangsa dan negara. Mereka mempunyai pengaruh luar biasa dalam mencorakkan keperibadian dan pemikiran generasi pelapis,” katanya.

Mohamad berpendapat, kebajikan guru perlu diberi keutamaan dan jika ramai guru-guru bersara pada saat masih produktif dan boleh menyumbang dengan berkesan, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan KPM. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here