POLIS sedang menyiasat kes buli jalanan yang tular menerusi satu video di laman sosial Facebook, yang dilaporkan berlaku di Jalan Kuala Selangor, berhampiran Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, berkata insiden itu dikesan menerusi satu hantaran berserta video berdurasi 45 saat yang tular di laman sosial berkenaan.
Menurutnya, hantaran tersebut dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Kevan De Silva, yang mendakwa pemandu Perodua Alza berwarna putih telah melakukan buli jalanan dan melemparkan kata-kata kesat terhadap mangsa.
“Kejadian tersebut berlaku di Jalan Kuala Selangor berhampiran MRT Sungai Buloh, Shah Alam, Selangor, pada 16 April lalu jam lebih kurang 11 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, Shafa’aton mengesahkan pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian tersebut dan laporan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
“Justeru, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian menyalurkannya dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-61561222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost

