SERAMAI 42 individu ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 hasil Operasi Khas Samseng Jalanan (OSJ) Kontinjen Johor dari 9 hingga 17 April lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M Kumarasan, berkata operasi bersepadu yang turut membabitkan semua elemen dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di semua daerah itu juga mengeluarkan sebanyak 2,350 saman atas pelbagai kesalahan trafik.
Menurutnya, operasi khas itu dilaksanakan khusus dalam menangani masalah ‘Mat Rempit’ yang semakin berleluasa di Kontinjen Johor.
“Bertindak atas aduan semasa, Ketua Polis Johor telah mengarahkan operasi khas selama seminggu khusus bagi menangani isu Mat Rempit bagi memberi impak yang lebih berkesan dalam menangani isu ini secara serius.
“Mat Rempit sangat sinonim dengan aktiviti melepak, berkonvoi, mengubah suai motosikal dan berani melakukan aksi-aksi bahaya seperti lumba haram, ‘wheelie’, ‘superman’ dan lain-lain aksi yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, aksi-aksi bahaya yang dilakukan itu juga menjadi kebanggaan dikalangan mereka dan dimuat naik ke media sosial seperti TikTok, Instagram dan lain-lain platform lagi.
Menurutnya, budaya ini menjadi trend terkini dikalangan Mat Rempit, malah mereka tidak serik walaupun beberapa kali terbabit kemalangan dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa atas kesalahan sama.
“Hasil operasi bersepadu yang dijalankan ini seramai 42 individu berusia 14 hingga 53 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Selain di daerah, fokus operasi ini juga turut dijalankan di lebuh raya khusus bagi kumpulan motosikal yang berkonvoi dan melakukan aksi bahaya seperti yang selaku tular di media sosial,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhan seramai 12,815 individu diperiksa dan membabitkan pemeriksaan 10,035 kenderaan dengan 3,723 daripadanya adalah motosikal.
“Sebanyak 208 kenderaan diambil tindakan sita untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

