Suspek curi kenderaan dicekup

0
2

POLIS berjaya menahan seorang daripada tiga individu yang melarikan diri dari pemeriksaan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Kepong, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata kejadian berlaku pada jam 5.14 petang semalam semasa kereta prtonda polis (MPV) sedang membuat rondaan di kawasan MRR2 dan terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Satria warna hitam.

“Hasil semakan melalui sistem polis mendapati nombor pendaftaran digunakan tidak sama dengan jenis kereta yang dipandu berkenaan.

“Oleh yang demikian, petugas MPV bertindak menghampiri kereta Satria berkenaan namun secara tiba-tiba pemandu kereta bertindak memecut laju dengan cara berbahaya ke arah Kepong,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, keadaan jalan raya yang sesak ketika itu menyebabkan pemandu kereta berkenaan melanggar beberapa kenderaan orang awam serta motosikal Food Panda yang sedang bergerak bagi mengelak dari ditahan polis.

“Salah seorang suspek berjaya diberkas susulan kereta Satria berkenaan terperangkap dalam kesesakan jalan raya di kawasan Metro Perdana Jalan Kepong, manakala dua lagi suspek melarikan diri.

“Hasil semakan, polis dapati kereta yang dinaiki telah dilaporkan hilang di Taman Melawati pada 9 April lalu,” katanya.

Beliau berkata, semakan terhadap suspek lelaki berusia 25 tahun yang ditahan itu mendapati mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

“Polis kini masih dalam usaha mengesan dua lagi suspek yang berjaya melarikan diri dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti pembabitan mereka dalam sindiket kecurian kenderaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222 bagi membantu siasatan,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here