Jangan salah guna kurniaan istana untuk populariti media sosial – Permaisuri Johor

0
2

PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Idris Shah bertitah sebarang kurniaan daripada Istana Johor tidak sepatutnya disalah gunakan untuk meraih populariti di media sosial.

Merujuk kepada akaun ‘shafeqyahya’ di TikTok yang menayang beberapa hadiah kurniaan daripada Istana Bukit Serene, Johor Bahru, baginda bertitah tidak mengenali individu pemilik akaun itu.

“Saya tahu hadiah-hadiah itu dan ia sebenarnya hadiah kurniaan kepada sesetengah pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri Johor sebagai penghargaan ikhlas atas perkhidmatan mereka.

“Saya tidak mengenali siapa ‘shafeqyahya’ ini dan saya mengesyaki hadiah-hadiah itu disalah gunakan untuk meraih ikutan dan populariti di media sosial, seolah-olah mempunyai hubungan yang rapat dengan Keluarga DiRaja Johor,” titah baginda dalam hantaran di media sosial facebook, The Royal Johor.

Sehubungan itu, baginda bertitah satu laporan polis akan dibuat untuk menyiasat sama ada wujudnya elemen salah guna ataupun menyamar sebagai pegawai kerajaan Johor.

Pengguna TikTok berkenaan dilihat memaparkan beberapa kurniaan dari Istana Johor seperti loket, syiling berwarna emas, set pen dan tasbih dan sampin raya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here