‘Kerajaan pengumuman’, prestasi buruk Upko punca Warisan Plus tumbang

0
3

[Analisis] PERTUKARAN kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 semalam bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ramai pihak menjangkakan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya atau Warisan Plus kalah dalam pilihan raya itu.

Banyak sebab menyumbang ke arah kekalahan parti pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu, paling utama tentunya propaganda dibawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengatakan kerajaan Warisan gagal mentadbir Sabah ke arah kemajuan seperti yang dijanjikan mereka sebelum ini.

Prestasi pertumbuhan ekonomi Sabah 0.5 peratus yang dicatat pada tahun lalu dan 1.5 peratus pada 2018 dijadikan asas utama untuk membuktikan Warisan Plus gagal membangunkan ekonomi Sabah sehingga kadar pengangguran meningkat.

Warisan didakwa hanya pandai membuat pengumuman sehingga digelar `kerajaan pengumuman’ kerana mengumumkan pelbagai projek besar bernilai berbilion ringgit seperti projek kereta api menghubungkan ibu negeri dengan Kudat.

Kempen GRS turut mengungkit isu bantuan Covid-19 kepada rakyat susah yang diumumkan kerajaan negeri tetapi tidak diterima oleh mereka yang sepatutnya layak mendapat bantuan itu turut memberi kesan kepada sokongan terhadap Warisan.

Warisan turut dibidas kerana mengadakan PRN ketika pandemik Covid-19, malah berlaku peningkatan kes di Semporna, Tawau, Lahad Datu dan Kunak sehingga membimbangkan rakyat negeri itu.

Tidak ketinggalan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) digunakan GRS dalam kempennya untuk mengingatkan rakyat bahawa masalah itu gagal diatasi Warisan, malah parti itu dilabel penternak PATI, supaya rakyat mempercayai yang Warisan menjadi punca masalah itu berleluasa.

Keputusan penuh PRN Sabah semalam

Isu tuntutan Filipina ke atas Sabah dan cara kerajaan negeri mengendalikannya, selain isu menghina pasukan keselamatan dalam kes ucapan Datuk Mohamaddin Ketapi mengenai pertempuran dengan ayam dan anjing ketika Ops daulat di Lahad Datu, sedikit sebanyak memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap Warisan Plus.

GRS turut menggunakan isu hubungan kerajaan negeri dengan Pusat yang tidak sehaluan ketika Warisan memerintah untuk meyakinkan pengundi betapa kerjasama rapat kedua pihak penting untuk pembangunan negeri dan ia dapat diselesaikan jika GRS memerintah.

Sebaliknya, Warisan Plus lebih banyak menggunakan isu Sabah untuk orang Sabah dan meminta rakyat negeri itu menolak parti yang ada kaitan dengan Semenanjung, selain mencanang kononnya Sabah terpaksa mengikut telunjuk mereka jika perkara itu terus dibiarkan.

Warisan Plus lebih banyak menggunakan pendekatan bertahan menjawab tuduhan GRS dalam setiap kempennya dengan menjadikan tempoh perkhidmatan selama dua tahun yang singkat sebagai alasan mengapa ia tidak dapat melaksanakan pembaharuan menyeluruh di Sabah.

Malah, Mohd Shafie dalam kebanyakan ucapannya turut menjelaskan tumpuannya ialah untuk membina nilai-nilai yang baik dalam masyarakat di negeri itu, bukan membina bangunan pencakar langit sebagai lambang kemajuan.

Mohd Shafie dalam setiap kempennya turut menyalahkan cubaan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman untuk mengambil alih kerajaan negeri pada akhir Julai lalu sebagai punca kemelut politik dihadapi di Sabah hingga PRN terpaksa diadakan.

Bagaimanapun, punca utama kejatuhan Warisan Plus sebenarnya disebabkan pencapaian buruk rakan gabungannya, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) yang hanya memenangi satu daripada 12 kerusi ditandingi parti itu.

Imbas kembali: Madius Tangau menjadi pihak terawal melompat parti selepas PRU14 lalu menyebabkan kerajaan BN tumbang

Presidennya, Datuk Madius Tangau turut kalah di tangan Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai di Kiulu.

Hanya Naib Presiden parti itu, Datuk Ewon Benedick berjaya mempertahan kerusi DUN Kadamaian, mungkin kerana rekod baiknya ketika menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, sebelum ini.

Pencapaian buruk Upko pada PRN kali ini ada kaitan dengan tindakan Madius membawa keluar parti itu dari BN untuk bersama Warisan hingga membolehkan kerajaan pimpinan Warisan dibentuk pada 2018.

Tindakan itu bukan saja menimbulkan kemarahan pemimpin BN ketika itu, malah tidak disenangi rakyat Sabah, termasuk di kawasan yang diwakili Madius sendiri selaku Ahli Parlimen Tuaran.

Disebabkan Upko, Warisan Plus gagal membentuk semula kerajaan walaupun Warisan bersama rakan sekutu lain khususnya PKR dan DAP sebenarnya mengekalkan pencapaian mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Malah, Warisan berjaya menambah dua kerusi pada PRN kali ini menjadikan 23 kerusi berbanding hanya 21 pada PRU 2018, manakala DAP dan PKR kekal memenangi masing-masing enam dan dua kerusi, sama seperti PRU lalu.

Pertambahan 13 kerusi baharu pada PRN kali ini turut menyumbang kepada kemenangan GRS dan kekalahan Warisan Plus berikutan peningkatan majoriti mudah kepada 37 kerusi berbanding 31 kerusi pada PRU 2018.

Jika tiada pertambahan kerusi DUN kepada 73 berbanding 60 kerusi sebelum ini, Warisan Plus mungkin kekal membentuk kerajaan selepas PRN semalam.

Hakikatnya, pembentukan kerajaan pimpinan Warisan pada 2018 dibantu wakil rakyat yang melompat parti terutama dari Upko dan beberapa pemimpin Umno.

Bagaimanapun, situasi selepas PRN semalam berbeza memandangkan tiada kemungkinan wakil rakyat dari GRS melompat untuk menyokong Warisan Plus kerana kerajaan dibentuk GRS sehaluan dengan kerajaan Pusat pimpinan PN.

Pada 2018, ramai pemimpin dari BN melompat menyokong Warisan dan PH berikutan kegagalan gabungan itu mempertahankan kerajaan Pusat selepas PRU pada tahun berkenaan. – Malaysiapost