Tanah lapangan terbang: SPRM panggil 10 lagi individu termasuk bekas EXCO

0
2

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil 10 lagi individu termasuk bekas EXCO kerajaan negeri bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah tapak lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar, Perak.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, berkata 10 saksi berkenaan terdiri daripada pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), pegawai kerajaan negeri, bekas EXCO Perak dan pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

“Seorang saksi yang merupakan ahli lembaga pengarah PKNP merangkap bekas penasihat undang-undang negeri telah dirakam kenyataannya.

“SPRM hari ini akan merakam kenyataan seorang lagi ahli lembaga pengarah perbadanan itu yang turut hadir dalam mesyuarat ALP PKNP berkaitan perbincangan penjualan tanah PKNP,” katanya.

Perkembangan itu menjadikan seramai 13 saksi telah tampil memberi keterangan berhubung siasatan kes itu, setakat ini.

Dalam pada itu, Mohd Fauzi berkata, SPRM akan memanggil seorang lagi saksi penting dalam masa terdekat untuk memberi kenyataan sebelum fail siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk kajian dan keputusan.

Menurutnya, siasatan SPRM masih menumpu kepada kesalahan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 (kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan) dan lain-lain kesalahan dibawah Akta SPRM.

“Siasatan setakat ini tiada menahan mana-mana individu yang dikatakan terlibat dengan kesalahan Akta SPRM berkaitan penjualan tanah terbabit,” katanya.

Sebelum ini, SPRM sudah merakam kenyataan tiga saksi membabitkan pegawai PKNP dan kerajaan negeri Perak berhubung isu penjualan tanah itu bagi membantu siasatan.

Isu penjualan tanah lapangan terbang berkenaan timbul selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mendakwa tanah itu sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here