POLIS Kuala Lumpur berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah sekitar Lembah Klang dengan merampasl pelbagai jenis dadah dalam serbuan di ibu negara dan Selangor pada 14 hingga 15 April lalu.
Dalam serbuan jam 9.05 malam hingga 5.10 pagi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur itu dadah bernilai RM386,757 berjaya dirampas membabitkan dadah jenis syabu, heroin, ganja, pil Eramin 5 dan ketamin.
Ketua JSJN Kuala Lumpur Asisten Komisioner Jasmirol Jamaluddin, berkata hasil maklumat awam dan risikan mengenai kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di sekitar Kuala Lumpur, pihaknya melancarkan Op Gaston bagi menumpaskan sindiket yang didalangi seorang lelaki tempatan.
“Lima serbuan yang dilancarkan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor berjaya menangkap lima lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta merampas sejumlah dadah disyaki syabu, heroin, ganja, pil Eramin 5 dan ketamin.
“Kesemua tangkapan berusia 20 hingga 45 tahun manakala rampasan membabitkan syabu seberat 3.2 kilogram (kg) dianggar bernilai RM121,510.
“Heroin seberat 8.4kg dianggar bernilai RM116,722, ganja seberat 10.8kg bernilai RM27,400, pil Eramin 5 sebanyak 3,150 biji dianggar bernilai RM66,300 dan dadah jenis ketamin seberat 365 gram bernilai RM54,825,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semua tangkapan kini direman selama tujuh hari sehingga 21 April ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
“Kejayaan ini adalah hasil siasatan dan risikan yang rapi oleh JSJN Kuala Lumpur dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah berbahaya dengan lebih berkesan,” katanya. – Malaysiapost

