BATALION 6 Pasukan Gerakan Am (PGA), Bakri Muar berjaya merampas 92 kotak mengandungi pelbagai mercun dalam satu serbuan di Parit Jawa, Muar semalam dan menahan seorang lelaki tempatan.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Deputi Superintendan Salehin Suleiman, berkata serbuan dijalankan di sebuah rumah ibadat di Parit Limbong, Parit Jawa dan pemeriksaan menemui kotak-kotak berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menjumpai sejumlah 92 kotak berwarna coklat yang mengandungi pelbagai jenis mercun dan berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 58 tahun.
“Hasil siasatan awal mendapati lelaki yang ditahan tidak memiliki lesen menyimpan dan permit menjual mercun yang sah dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM213,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, serbuan itu berjaya melumpuhkan satu rangkaian sindiket pengedaran dan penjualan mercun di sekitar daerah Muar dengan menjadikan rumah ibadat sebagai stor tempat simpanan mercun sebelum diedarkan kepada peniaga-peniaga kecil.
Beliau berkata kes berkenaan kini disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957 dan suspek yang ditahan kini direman bagi membantu siasatan.
“Masyarakat diseru supaya memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Maklumat boleh disalurkan melalui talian Hotline 06-9866121 sambungan 3030 Pejabat Risik / Gerakan Batalion 6 PGA,” katanya. – Malaysiapost

