KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan dengan kerjasama pelbagai agensi pengkuatkuasa yang lain akan menggempur premis yang melanggar undang-undang terutama pusat hiburan di ibu negara secara berterusan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata tindakan serta merta akan diambil pihak berwajib kepada premis yang telah melanggar peruntukan undang-undang.
Beliau turut menyertai operasi bersepadu di ibu negara bersama pelbagai agensi pengkuatkuasaan.
“Saya sertai Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam operasi bersepadu banteras aktiviti haram sekitar Kuala Lumpur malam tadi hingga awal pagi ini.

“Turut serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI),” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan sebanyak enam premis diserbu dan ada yang melanggar Akta Hiburan (WPKL) 1992 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Saya nak tegaskan bahawa, kita akan lakukan operasi sebegini secara berterusan dari semasa ke semasa. Demi Wilayah kita,” katanya. – Malaysiapost

