MoU kerajaan-PH perlu perbincangan rasmi – Anthony Loke

0
3

MEMORANDUM persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) tidak membabitkan pucuk pimpinan Umno, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Justeru, beliau berkata, sebarang keputusan dan isu berkenaan MoU tersebut perlu dibincangkan secara rasmi di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewakili kerajaan dengan pimpinan tertinggi PH.

“Keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk tidak meneruskan MoU dengan Pakatan Harapan selepas 31 Julai 2022 adalah urusan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan partinya.

“Perlu ditegaskan bahawa MoU tersebut adalah persefahaman di antara PH dengan Kerajaan Persekutuan dan bukannya dengan pucuk pimpinan Umno. Justeru itu, pihak kami tidak terikat dengan apa-apa keputusan Majlis Tertinggi Umno,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Anthony berkata, isu yang paling penting bagi PH ialah pelaksanaan semua komitmen kerajaan yang termaktub dalam MoU terutamanya penggubalan Akta Anti Lompat Parti sebelum Parlimen dibubarkan.

“Dalam Pemukiman DAP Pusat baru-baru ini, pucuk pimpinan parti telah mengarahkan supaya seluruh jentera pilihanraya DAP mesti bersiapsiaga sepenuhnya menjelang Ogos 2022.

“Dalam apa keadaan sekali pun, saya yakin bahawa DAP dan Pakatan Harapan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembubaran Parlimen pada awal bulan Ogos akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, terdapat juga percanggahan pendapat di kalangan parti dalam Blok Kerajaan berkenaan garis masa MoU tersebut seperti yang dilaporkan media.

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan MoU kerajaan dan PH yang berakhir 31 Julai ini tidak akan diteruskan.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dipetik sebagai berkata, Umno juga menetapkan akta anti-lompat parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan di Parlimen.

MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai Kerajaan Persekutuan dengan PH pada 13 September 2021, berkuat kuasa sehingga Parlimen ke-14 dibubarkan.

Ia antara lain menyatakan kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai ini.

MoU itu turut menyatakan Rang Undang-undang Anti-Lompat Parti perlu dibentang dan diluluskan dalam sidang pertama Dewan Rakyat pada tahun ini. Sidang pertama itu berakhir 24 Mac lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here