
KUALA LUMPUR, 30 Jun -- Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan memberi penerangan pada sidang media selepas sesi lawatan kerja di Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
SEORANG lelaki warga tempatan yang melakukan samun kedai emas di sekitar ibu negara telah didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata tertuduh didakwa melakukan rompakan kedai emas dengan bersenjata mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
“Tertuduh juga akan didakwa mengikut Seksyen sama bagi kes samun kedai emas yang berlaku di Kuala Kubu , Selangor pada 25 Mac lalu.
“Dengan tertangkapnya tertuduh ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah berjaya menyelesaikan dua kejadian cubaan samun kedai emas di Johor dan satu di Melaka serta satu kes curi motosikal di Perak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, PDRM akan terus berusaha mengesan dan menangkap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan jenayah dan tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. – Malaysiapost
