Basikal lajak: Hati-hati komen agar tak subjudis

0
3

ORANG ramai diingatkan berhati-hati agar tidak subjudis berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintah kerani wanita dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000, kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata semua pihak juga diingatkan jangan terlalu emosi dengan keputusan itu.

“Biarlah proses undang-undang dijalankan. Sebagaimana Pendakwaraya mempunyai hak untuk merayu keputusan majistret, beliau juga boleh memfailkan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Rayuan.

“Rayuan juga boleh dibuat terhadap keputusan tidak membenarkan ikat jamin/gantung perintah tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Kelmarin Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan kerani wanita, Sam Ke Ting, 27, dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000, atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.

Keputusan itu sekali gus mengenepikan penghakiman Mahkamah Majistret pada 10 Oktober lalu yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan responden daripada pertuduhan tersebut.

Responden, turut diperintah menjalani hukuman selama enam bulan penjara lagi jika tidak membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai hukuman penjara.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar berkata pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan dengan Mahkamah Tinggi turut memerintahkan tertuduh untuk membela diri.

Susulan itu, satu petisyen diwujudkan bagi mendapatkan sokongan membebaskan Ke Ting yang mendapat mendapat sokongan lebih 400,000 sehingga petang semalam.

Dalam pautan itu juga dinyatakan pihak yang membuat petisyen menganggap kerani itu tidak bersalah dalam insiden terbabit, dan dia adalah mangsa sebenar dalam tragedi itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here